KONSEP BLOG SAYA 1:31 AM

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum w.b.t…


Alhamdulillah, ucapan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dan keizinan-Nya dapat saya menyiapkan blog saya ini. Konsep dalam blog saya ini ialah mengenai isu-isu semasa yang boleh dijadikan penghayatan dan pengajaran kepada semua. Antara isu yang saya bincangkan dalam blog ini ialah isu yang berkaitan dengan ilmu Islam yang perlu dipelajari agar tidak ketinggalan mengenainya. Selain itu, ada juga isu yang berkaitan dengan permasalahan muda-mudi sekarang. Penghayatan al-Quran dan agama Islam amat penting agar kita selamat daripada sebarang gejala yang tidak sihat.

Terdapat juga isu yang boleh manjadi panduan untuk membina kehidupan dan keluarga yang bahagia. Sebagaimana kita tahu, pada zaman yang serba moden ini, terdapat ramai pasangan suami isteri yang membuat aduan di Pejabat Agama untuk menyelesaikan masalah rumah tangga. Semoga isu yang dikemukakan dalam blog saya ini dapat menjadi panduan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Secara keseluruhannya, isu-isu yang saya bincangkan ini adalah berkaitan dengan isu semasa yang tidak asing lagi bagi kita semua seperti isu ekonomi, isu Negara Islam, kaedah untuk mendidik anak, pembinaan keluarga bahagia, keadilan dalam politik, kepentingan ilmu-ilmu Islam, akidah umat Islam, undang-undang dalam Islam dan isu berkaitan masalah pelajar atau mahasiswa.

Akhirnya, ucapan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi memberi komentar dan cadangan mengenai isu-isu yang saya kemukakan ini. Terima kasih juga kepada Prof. Madya Dr. Zulkiple bin Abd. Ghani kerana telah mengajar dan membuka minda kami untuk terus berjuang dalam aktiviti dakwah. Akhir kalam, segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan yang kurang itu datangnya daripada kelemahan diri saya sendiri.

Wallahu’alam...

ISU POLITIK ISLAM 4:37 PM

KEWIBAWAAN HAKIM DALAM POLITIK ISLAM

Apabila melihat institusi kehakiman di dalam negara kita dipermain dan dijadikan perisai kepentingan politik pemerintah sekular, maka bertambah iman kita bahawa sistem jahiliyyah adalah punca kerosakan manusia. Tiada kaedah yang kukuh dan berdaulat yang menjadikan nilaian kehakiman tinggi dan bermaruah melainkan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ruh keagungan tidak wujud sekiranya kita meminggirkan dua panduan utama ini iaitu Al-`adalah dan al-`Ilm. Secara ringkasnya al-`adalah adalah konsep yang menyentuh keadilan keperibadian hakim yang bebas dari bentuk-bentuk kejahatan dan nilai-nilai yang mengurangkan kepercayaan orang lain terhadapnya, juga ketulusan hukuman yang diputuskannya. Sementara konsep al-`ilmu yang dipertegaskan ialah kepakaran dalam mengenali hukum-hakam syarak yang berkaitan dengan proses keadilan yang sedang dikendalikan.

Di atas dasar ini Islam mensyaratkan hakim terdiri dari kalangan mukminin yang mengakui konsep keimanan yang ditentukan Islam, termasuk persoalan beriman dengan hari akhirat. Allah Maha Mengetahui bahawa kemuliaan peribadi dalam ertikata yang sebenar tidak dapat ditemui melainkan apabila seseorang itu didokong oleh keruhanian yang kukuh. Seseorang hakim mungkin boleh bertindak adil dalam suasana diri tidak tertekan. Namun keadilan akan hilang apabila dirinya ditekan, kedudukannya tergugat atau harta dunia ditawarkan kepadanya. Hal seperti ini hanya mampu ditangani oleh keimanan yang kukuh dan keyakinan terhadap akhirat. Demikian juga seseorang yang benar-benar takutkan Allah tidak akan membuat keputusan mahkamah sedang dia belum menguasai pengetahuan mengenai ilmu kehakiman yang dibicarakan. Cukup hanya kerana kejahilannya untuk dia dicampakkan ke dalam api neraka.

Malangnya, dalam sistem sekular, nilai-nilai ini tidak ditekankan. Kehakiman hanyalah dianggap suatu kerjaya dengan nilai-nilai moral yang digariskan. Perasaan kerohanian dan akhirat tidak dijadikan penekanan asas dalam pembentukan peribadi hakim. Islam melarang perlantikan hakim yang tidak menguasai bidang perundangan Islam dengan tahap yang dituntut. Kewujudan hakim yang jahil adalah maksiat dan dosa, maka sudah tentu perlantikannya adalah punca dosa dan maksiat pada pandangan syarak. Di atas dasar ini semua fuqaha Islam menjadikan ilmu iaitu kepakaran dalam bidang kehakiman Islam sebagai syarat bagi seseorang hakim yang dilantik. Perlantikan para hakim yang tidak luas pengetahuan hukum-hakam syarak boleh menjadikan hukum-hakam perundangan dipertikaikan dan mencemar kemulian agama juga keadilan dan keamanan negara dan rakyat. Dengan hanya melihat kepada dua aspek ini boleh memberi gambaran betapa perlantikan hakim dalam daulah Islamiyyah benar-benar dapat mententeramkan jiwa dan perasaan rakyat terhadap sistem kehakiman Islam. Sekiranya rakyat Malaysia benar-benar cintakan kebenaran dan inginkan para hakim yang berwibawa mengendalikan proses mahkamah maka bersegeralah membentuk negara Islam yang tulen.

posted by izzahhusna

ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM 4:09 PM

KEKUATAN IHSAN, INSAN TUNGGAK PEMBENTUKAN KELUARGA

IHSAN dan insan adalah asas hubungan manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia. Hubungan menegak dan merentas ini menjadi tunggak kepada memahami fitrah hidup. Kehidupan sebagai seorang Islam tidak boleh memutuskan dirinya dengan Allah dan tidak boleh pula memutuskan dirinya dengan manusia. Ihsan Allah kepada hamba dan makhluk akan sentiasa ada dan sewajarnya ihsan insan sesama insan juga harus berlaku supaya integrasi antara kedua-duanya menepati. Manusia akan terus berada dalam fitrah sekiranya ihsan Allah itu disuburkan dalam hidup. Jiwa keihsanan apabila subur dalam kehidupan sesama insan ia menjadikan masyarakat berada dalam keadaan sejahtera dan harmoni. Keluarga adalah unit kecil masyarakat yang menjadi tunggak kepada terbentuknya negara. Ia adalah unit asas yang boleh menjadi faktor penyumbang kepada kekuatan negara atau sebaliknya. Dalam konteks Islam asas pembinaan keluarga yang baik terletak kepada kekuatan keihsanan dan keinsanan yang dimiliki. Kualiti keihsanan yang dimiliki oleh seorang ayah dan ibu banyak menentukan proses pembentukan watak anak-anak.

Rasulullah menghubungkan pentingnya pengaruh ibu bapa (faktor sekitar) membentuk anak-anak supaya terus berada dalam keadaan fitrah atau diibaratkan sebagai kain putih. Rasulullah juga menyebut antara faktor yang menghubungkan yang sudah pergi dengan yang tinggal ialah kesolehan anak-anaknya. Terbentuknya anak-anak menjadi soleh atau toleh bergantung kepada kualiti keihsanan kedua-dua orang tuanya. Ibu bapa yang soleh dan solehah adalah gambaran ketinggian ihsannya yang membolehkan suasana rumah tangga atau keluarga terbina dalam keadaan terbaik untuk membentuk anak-anak ke arah acuan terunggul. Keihsanan bapa dan ibu kepada Allah adalah gambaran akidahnya yang mantap, takwa tinggi dan iman kental terhadap Allah. Jiwa kehambaannya (patuh dan taat) adalah teguh, di samping menginsafi peranan kekhalifahannya (sebagai ibu dan bapa) sentiasa subur pada dirinya. Sifat kasih dan sayang Allah kepada hamba dan makhluk sentiasa terpancar dalam dirinya. Rahmah Allah menurunkan ilmu menerusi al-Quran sentiasa menjadikan ibu dan ayah menyandarkan kitab suci itu sebagai sumber petunjuk dan maklumat. Ihsan Allah memberikan kekuatan akal dan hati kepada ibu bapa digunakan supaya anak-anak menjadi pintar dan cerdik. Ihsan Allah memberikan ibu bapa harta dan sumber dijadikan asas untuk menggerakkan kehidupan keluarga secara yang Allah reda.

Bayangkan sekiranya ihsan daripada Allah dipancarkan semula dalam bentuk watak keibubapaan yang mulia, anak-anak pasti bertuah memiliki pendidik awal di rumah. Ini kerana contoh atau qudwah yang ada dalam persekitaran awal hidupnya adalah teladan serasi dan selari dengan fitrah dirinya. Inilah sebenarnya kekurangan dalam banyak keluarga Islam menyebabkan perkembangan naluri meneladani ibu bapa sebagai qudwah kosong. Harus diinsafi bahawa umur anak-anak pada peringkat awal lahirnya hingga akil baligh adalah tempoh hidup yang amat kritikal bagi dirinya. Pada peringkat inilah proses membina asas sikap dan tingkah laku serta cara hidup yang asas akan berlaku. Sekiranya ibu bapa tidak memahami faktor pertumbuhan akal, jiwa dan emosi serta tingkah laku anak dengan pendekatan ilmu dan asuhan baik, ia boleh menyebabkan mereka kehilangan arah dalam memahami makna diri, persekitaran dan baik buruk sesuatu perkara. Akhirnya, akan menjadikan mereka remaja yang tidak tentu arah serta hilang pedoman dan petunjuk. Asas utama yang menjadi tunggak kekuatan keluarga ialah ilmu mengenai pendidikan dan keterampilan keibubapaan.

posted by izzahhusna



ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT 10:25 AM

UNIVERSITI ASMARA

PANTAI Dalam dan Kampung Kerinchi, antara penempatan yang menjadi tumpuan penduduk Melayu di Kuala Lumpur. Hasil pembangunan pesat, kedua-dua kawasan ini dipenuhi rumah pangsa dan kondominium yang sebahagian daripadanya disewa oleh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka tinggal menyewa beramai-ramai dan berkongsi kenderaan ke kuliah. Oleh kerana ibu bapa jauh di kampung, mereka bebas bergaul hingga ada yang terbabas kepada gejala sosial dan moral. Topik Universiti Asmara ini dibincangkan dalam Keluarga Di 9 (KD9) bersama pengacara Benjy dan tetamu termasuk Pengetua Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan (KEWAJA), Yahaya Mohamed dan Ketua Biro Ikhtisas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Nur Izura Udzir. Turut menjadi tamu ialah pemimpin pelajar, Mohd Zaid Mohd Idrus dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM).

Kisah Zara (bukan nama sebenar) menyedarkan banyak pihak mengenai kelonggaran akhlak remaja walaupun mempunyai pencapaian akademik membanggakan. Zara berasal dari negeri pantai timur dan mengikuti pengajian kejuruteraan, tetapi disebabkan cinta yang berkobar-kobar, sanggup menyerahkan maruah diri kepada lelaki yang dicintainya. Zara kini hamil lapan bulan hasil perhubungan intimnya dengan teman lelaki yang kini tidak dapat dihubungi lagi. Di Kewaja, rumah perlindungan yang dikendalikan Yahaya dan isterinya, Ruzitah Baharum, Zara dan remaja lain yang hamil daripada perhubungan luar nikah dilatih menguruskan diri dan menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar serta meneruskan kehidupan selepas melahirkan anak. Bagi Zara, pengajaran daripada episod pahit dalam hidupnya ini akan dijadikan pedoman pada masa depan. Sementara itu, seorang lagi remaja senasib, Intan (bukan nama sebenar) hamil selepas sebulan berkenalan dengan seorang lelaki ketika dia menuntut di sebuah politeknik di utara tanah air. “Sejak awal berkenalan lagi, dia memang banyak kali mencuba untuk melakukan hubungan seksual, tetapi saya tidak benarkan. Bagaimanapun, pada satu malam, saya tidak sedar dia memasukkan pil khayal ke dalam makanan saya. “Dalam keadaan separuh sedar, saya mendapati dia membawa saya ke rumahnya dan apabila saya sedar keesokan harinya, semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di KEWAJA.

Satu punca gejala ini ialah kejutan budaya penuntut yang datang dari luar bandar. Daripada persekitaran terkongkong, mereka yang mendapat kebebasan secara tiba-tiba apabila memasuki IPT dan tinggal beramai-ramai di rumah sewa, mudah dipengaruhi fenomena cinta kampus. Apabila terlanjur, ramai yang memilih jalan mudah dengan menggugurkan anak secara haram atau membuang bayi. Alhamdulillah, usaha ABIM masih giat menjalankan pelbagai program pembangunan ummah walaupun kian kurang mendapat pendedahan media. Katanya, jika diberi ruang yang lebih terutama di IPTA dan IPTS, ABIM bersedia mengadakan kegiatan pengisian jiwa dan minda remaja.

posted by izzahhusna

ISU PENGHAYATAN ISLAM 9:31 AM

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan satu rahmat daripada Allah. Ia merupakan bulan di mana Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadhan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini. Bulan Ramadhan telah dimuliakan oleh Allah dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan Allah yang lain. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi Allah iaitu puasa. Pada bulan ini juga telah diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba Allah untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Pintu Syurga dibuka seluas-luasnya pada bulan ini bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah Allah. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke Syurga.

Pada bulan Ramadhan ini juga Allah meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba-Nya yang tekun beribadah dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya. Hamba-hamba Allah yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-Nya terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Namun, persoalan yang timbul di sini bahawa sekiranya syaitan dan jin dibelenggu pada bulan Ramadhan mengapa manusia masih melakukan kemungkaran pada bulan ini? Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam al-Qurthubi r.h telah berkata: “Apabila semua syaitan dibelenggu tidak bermakna langsung tidak akan berlaku kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana, punca berlakunya kemaksiatan mungkin berpunca daripada faktor selain hasutan syaitan seperti diri manusia itu yang sememangnya berperangai buruk, sentiasa melakukan perbuatan mungkar serta manusia yang nafsunya masih terdorong mengikut hasutan syaitan. Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan iaitu Lailatulqadar. Sesiapa yang beribadah pada bulan ini dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Dengan pelbagai keistimewaan yang Allah kurniakan pada bulan Ramadhan yang penuh berkat ini marilah kita penuhinya dengan mengerjakan amal-amal yang soleh. Ibadah yang amat dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ketika berada di bulan Ramadhan antaranya mempergiatkan ibadah qiamullail, memperbanyakkan doa, berzikir, membaca al-Quran, bersedekah dan amal soleh yang lain.

posted by izzahhusna

ISU EKONOMI ISLAM 9:22 AM

HARGA MINYAK DAN INFLASI

Umumnya, ahli ekonomi bersetuju bahawa inflasi boleh disebabkan oleh tolakan kos atau tarikan permintaan atau kombinasi kedua-duanya. Namun begitu, pada masa kini nampaknya inflasi disumbangkan oleh sebahagian besarnya oleh tarikan kos. Ini disebabkan oleh kenaikan kos pengeluaran yang tinggi, yang sebahagian besarnya berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia. Kenaikan harga minyak ini amat ketara pada Julai 2006 dan meningkat lagi pada Julai 2008. Apabila kos pengeluaran meningkat, maka pengeluar yang sentiasa mahu memaksimumkan keuntungan akan mengenakan harga yang tinggi kepada pengguna. Selepas merasakan kesan kenaikan harga ini, kesan berikutnya, pengguna yang juga bekerja akan meminta kenaikan gaji yang baru dan lebih tinggi bagi menampung peningkatan harga ini. Jika permohonan mereka berjaya, kos pengeluaran akan meningkat dan seterusnya pengeluar pula akan meningkatkan harga mereka. Walaupun harga minyak dunia telah menurun pada 28 Ogos 2008, ekonomi Negara dijangka akan terus menghadapi tekanan inflasi. Di samping berpunca daipada harga minyak yang masih tinggi, harga komoditi yang tinggi juga menyumbang kepada tekanan tersebut. Pada masa yang sama, harga minyak yang menurun juga memberi kesempatan kepada kerajaan untuk menyemak semula dan menurunkan harga bahan api di pasaran tempatan.

Langkah tersebut pasti dapat mengurangkan beban pengguna yang sedang berdepan dengan tekanan inflasi. Namun begitu, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan harga barang dan perkhidmatan di pasaran akan kekal pada harga semasa. Peniaga tidak akan mudah menurunkan harga produk masing-masing kecuali bagi harga barang dan perkhidmatan yang dikawal oleh kerajaan. Peniaga selalunya bersikap tidak adil kepada pengguna.

Inflasi ini memberi kesan kepada pendapatan benar individu. Bagi individu, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar mereka. Keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang. Pengurangan pendapatan benar akan berlaku dengan ketara kepada pekerja-pekerja yang berpendapatan tetap. Selain daripada itu, inflasi juga akan memberi kesan kepada pelaburan dalam Negara. Dengan meningkatnya paras harga, pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dieksport boleh kehilangan daya saing. Dengan kehilangan daya saing ini, pendapatan eksport akan menurun dan ini akan mengurangkan pelaburan dalam industri-industri berkenaan. Inflasi juga memberi kesan negatif yang besar kepada golongan miskin dan miskin tegar menerusi penghakisan kuasa membeli mereka. Pihak berkuasa agama perlu menyediakan mekanisme bantuan kewangan lain untuk membantu dan memudahkan ketua isi rumah miskin tegar untuk mengeluarkan zakat fitrahnya dan dalam pada itu menunaikan syariat Ramadhan. Di samping isu keupayaan membayar, kadar fitrah menggambarkan inflasi sebenar dalam ekonomi tempatan.

posted by izzahhusna

ISU NEGARA ISLAM 9:16 AM

TUDUNG DAN GAYA HIDUP ISLAM DI TURKI

Tak terbayangkan akhirnya para pelajar dan pegawai kerajaan di Turki akan mempunyai kebebasan untuk menggunakan tudung. Kemenangan parti koalisi kerajaan sebanyak 403 berbanding 130 yang menentang cadangan pencabutan larangan bertudung telah melapangkan jalan bagi para Muslimah mengikuti pengajian Universiti. Ketika Turki masih berada di bawah cengkaman kekuasaan sekular, para perempuan bertudung telah melakukan tunjuk perasaan untuk meminta pencabutan larangan. Mereka digelari sebagai “para pejuang agama” oleh media Islam. Isu tudung tidak hanya diperjuangkan sebagai perintah agama yang berhubung kait dengan prinsip ajaran Islam tentang menutup aurat, tetapi lebih jauh juga dijadikan senjata sebagai penegasan Islam politik, yang kemudian dijadikan sandaran dalam penentangan terhadap isu lebih besar iaitu serbuan fesyen kapitalisme.

Para intelektual Islam menjadikan tudung sebagai tandingan terhadap gaya berpakaian hidup Barat. Mereka menegaskan bahawa perbezaan Islam dan Barat dihubungkaitkan dengan pemakaian tudung. Dengan bahasa sederhana bahawa sekarang perempuan di Turki berhak untuk memutuskan sama ada memakainya mahupun tidak, dan mereka tidak hanya memilih soal reka bentuk pakaian tetapi mereka mendudukkan dirinya pada salah sebuah dunia Islam atau Barat. Tentangan terbesar daripada gerakan Islamisasi di Turki adalah dari parti yang berhaluan sekular. Mereka tidak bersetuju jika kerajaan yang sebenarnya bercorak konservatif dan ekonomi liberal itu mengubah sekularisme Turki kepada amalan Islam, seperti memakai tudung. Namun, bantahan penyokong kepada fahaman liberal ini tidak mampu menghalangi parlimen menggubal undang-undang yang mengharamkan pelajar pengajian tinggi memakai tudung.

Parti sekular yang selama ini memerintah Negara yang dulu menguasai hampir satu pertiga kawasan Asia telah gagal mengotakan janjinya untuk menciptakan kemajuan seperti mana Barat yang menjadi contoh kepada asas pembangunannya. Sekarang, parti sekular telah dijauhi oleh rakyat Turki sendiri. Meskipun demikian, mereka masih lantang menyuarakan pandangannya namun tidak banyak mendapat simpati daripada masyarakat.

posted by izzahhusna


ISU ILMU-ILMU ISLAM 4:09 PM

MEMPERKASA PENEROKAAN ILMU FALAK

Falak atau juga dikenali sebagai astronomi merupakan satu bidang ilmu sains yang telah dipelopori oleh umat Islam sejak sekian lama. Ilmu falak atau astronomi boleh ditakrifkan sebagai satu bidang kajian bagi mengetahui kedudukan, peredaran, perihal serta fenomena jasad-jasad samawi seperti bintang, matahari, bulan, planet dan lain-lain yang mampu dilihat oleh kita di alam semesta ini. Ilmu falak yang digabungkan dengan hukum syariah yang berkaitan bagi hal-hal berkaitan ibadat umat Islam adalah lebih dikenali sebagai ilmu falak syarie. Menurut Pegawai Hal Ehwal Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Rizal Ramli, falak syarie adalah sebahagian daripada ilmu astronomi yang meluas dan ia melibatkan kajian alam dengan sistem suria dan seluruh jasad cakerawala dalam sistem galaksi. Katanya, falak syarie adalah dasar bagi penentuan waktu ibadah dan peristiwa yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan kiraan penentuannya seperti masuknya waktu solat, ibadah puasa, Hari Raya Puasa dan sebagainya adalah berdasarkan hisab falak syarie yang ada kaitannya dengan konsep gerakan bumi, bulan dan matahari. Katanya lagi, hasil daripada penemuan kajian yang dibuat oleh ilmuwan Islam terdahulu telah memberi sumbangan yang besar kepada orang Islam yang mana ia masih diguna pakai sehingga ke hari ini untuk dijadikan sumber rujukan. Al-Khawarizmi misalnya, telah menghasilkan buku Al-Jabr wa Al-Muqabilah. Buku ini menjelaskan secara terperinci tentang jadual trigonometri. Begitu juga dengan Al-Biruni yang menghasilkan buku Qanun Al-Mas’udi yang merumuskan astronomi dan Ibnu Sina membincangkan mengenai penyelidikan astronomi dalam karya terkenalnya al-Majmu’.

Seperti yang diungkapkan oleh Pengarah Institut Sains Angkasa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato’ Dr. Baharudin Yatim, teknologi sains angkasa wajar dibangunkan seiring dengan kecekapan yang diperlukan, oleh itu ilmu falak juga perlu diterapkan bermula di sekolah lagi. Mengulas dari sudut ini, Rizal turut berpandangan yang sama. Ini kerana pendidikan angkasa lepas adalah satu ilmu yang dituntut untuk dipelajari. Oleh itu, kita digalakkan untuk menuntut ilmu, yang bukan sahaja berbentuk akhirat, tetapi juga untuk memahami di sebalik itu ada juga falsafah-falsafah yang lebih berbentuk keislaman untuk mendidik diri mensyukuri apa yang diciptakan Allah. Malah Rasulullah s.a.w pernah naik ke Isra’ Mikraj, diangkat menjelajah angkasa lepas sehingga mengadap Allah di Sidratul Muntaha dan dari situ memberikan gambaran bahawa betapa pentingnya mengkaji segala yang ada di cakerawala. Justeru untuk mengembangkan lagi ilmu astronomi di kalangan masyarakat, Jabatan Falak turut bertanggungjawab dalam melebarkan pengetahuan tersebut. Mengulas perkara ini Rizal berkata, ilmu falak perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah rendah lagi dan untuk mencapai tujuan itu, perlukan ‘tapak’ yang kukuh.

posted by izzahhusna

ISU AKIDAH ISLAM 10:55 AM

BUKU PEMIMPIN AJAIB MEMESONGKAN AKIDAH DAN MENGANCAM KESELAMATAN

Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan hampir 100 orang termasuk kanak-kanak dan warga tua, episod bermulanya pembongkaran aktiviti terselindung Rufaqa’ yang dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula ajaran Al-Arqam. Penahanan yang dilakukan di sebuah premis dua tingkat di Seksyen 13 di Shah Alam, kira-kira pukul 4.30 petang tersebut, menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Belia dan Mesra Rakyat negeri Datuk Abdul Rahman Palil, kumpulan Rufaqa’ itu diketuai oleh Ashaari Muhammad yang sebelum ini adalah ketua kumpulan Al-Arqam yang diharamkan pada tahun 1995. Ketika serbuan dibuat, JAIS mendapati dua penceramah yang digelar Sheikh sedang memberi penerangan sebelum menjalankan sesi Ambil Power kepada ahlinya. Bagi mereka perjuangan menerusi jalan tersebut akan mendapat ‘kekuatan’ daripada Allah seperti yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. Ashaari yang tidak mendapat liputan media selama lebih 10 tahun ini, kini dilaporkan giat mencari ahli baru dan menjadikan sebuah kawasan di Nilai Spring, Negeri Sembilan sebagai markasnya. Menurut Abdul Rahman, kenyataan Ashaari yang sebelum ini mengaku bertaubat adalah pembohongan semata-mata kerana masih mengaku dirinya setaraf nabi dan penghubung antara manusia dan Tuhan. Malah katanya, Ashaari yang mendapat sanjungan yang lebih hebat oleh pengikutnya apabila digelar Putera Bani Tamim, Ruhul Muqaddasah dan Sohibus Zaman, kini memperkenalkan mentera atau bacaan yang menyimpang daripada akidah melalui rawatan kasih sayang kepada pengikutnya.

Menurut Abdul Rahman, Kerajaan negeri Selangor akan bertindak tegas terhadap pihak yang ingkar dan berdegil dalam cubaan mereka menghidupkan semula al-Arqam dan ajaran Aurad Muhammadiah yang diharamkan pada tahun 1994. Malah katanya kerajaan negeri tidak akan berhenti membuat pemantauan sehingga usaha pihak berkenaan yang memesongkan akidah umat Islam dapat dihapuskan. Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri juga mengeluarkan arahan tegas kepada pentadbir agama setempat termasuk nazir masjid, imam dan bilal supaya membantu pihaknya memantau serta mengumpul maklumat berkaitan usaha menghidupkan al-Arqam. Menurut Abdul Rahman lagi, sebelum ini mereka menyebarkan ajaran tersebut melalui kumpulan nasyid Mawaddah, dan terkini adalah menerbitkan buku Abuya Ashaari Muhammad Paling Ajaib di Zamannya karangan Khadijah Aam. Jabatan Mufti Selangor mengesan 38 aspek kandungan yang menyeleweng daripada buku tersebut. Antara penyelewengan yang disenaraikan adalah dakwaan Ashaari sebagai pembantu Imam Mahdi, berkomunikasi dengan Rasulullah secara jaga serta dilantik Tuhan sebagai seorang pemimpin di zaman ini. Sehubungan dengan itu kata Abdul Rahman, JAIS akan bekerjasama dengan bekas pemimpin kanan al-Arqam yang telah insaf untuk memberikan taklimat kepada orang ramai melalui pelbagai majlis yang akan diadakan tidak lama lagi.


posted by izzahhusna

ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK 4:09 PM

MENGUBATI PENYAKIT REMAJA

Fenomena anak-anak remaja bergaul bebas lelaki perempuan sambil melepak, merempit dan membuang masa dengan pelbagai aktiviti tidak berfaedah, menunjukkan golongan ini benar-benar sedang berada dalam kemelut jiwa dan keserabutan fikiran. Persoalannya, mengapakah anak-anak remaja ini menghadapi pelbagai masalah sosial yang mana sebahagian besar masalah ini tidak pernah berlaku suatu ketika dahulu? Siapakah sebenarnya yang menghadapi masalah dan dari manakah punca masalah itu tercetus? Menurut Dr. Muhammad Sa’id Ramadan al-Butiy dalam buku beliau berjudul Menangani jiwa Remaja, pada dasarnya golongan remaja tidak menghadapi sebarang masalah dalam soal apa sekalipun, bila dan di mana sahaja jika mereka termasuk ke dalam golongan orang-orang yang cerdas, orang-orang yang tunduk pada aturan kemanusiaan dan ketetapan tabi’i. Namun, sebahagian besar masyarakat menuding jari kepada golongan remaja dengan mengatakan merekalah yang bermasalah, menjadi punca kepada masalah dan menyebabkan masalah kepada orang lain. Menurut Dr. Sa’id Ramadan al-Butiy bahawa golongan remaja pada asalnya tidak menghadapi sebarang masalah, tetapi mereka telah dijangkiti oleh masalah yang sudah terlebih dahulu ada dalam masyarakat tempat tinggal mereka. Dengan kata lain, jika baik masyarakat itu maka baik pulalah golongan remajanya dan jika buruk masyarakat itu maka rosak pulalah golongan remajanya.

Oleh sebab penyakit yang ada pada golongan remaja adalah kesan dan akibat yang datang dari masyarakatnya, maka pengubatan hendaklah ditujukan kepada masyarakat seluruhnya, bukan kepada salah seorang daripada anggota masyarakat tersebut. Hanya ada satu ubat yang dapat mengubati penyakit remaja, iaitu melahirkan masyarakat yang jujur terhadap dirinya sendirinya, mencakupi setiap aspek dan bidang. Bagi mencapai tujuan ini, seluruh anggota masyarakat hendaklah memberi segenap kemampuan yang ada untuk saling tolong-menolong dalam mencapai sasaran ini. Seluruh institusi pendidikan perlulah berusaha dengan segala upaya untuk sampai ke arah ini. Penerbit buku, majalah, surat khabar dan media massa hendaklah tidak tersasar dari jalan ini, dan pada waktu yang sama memastikan setiap kegiatannya tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Media massa tidak sewajaranya menulis tentang nasihat-nasihat dari ulama-ulama terkenal, tetapi pada masa yang sama menyiarkan pula perkara-perkara yang menyemarakkan lagi masalah yang sedia ada. Budaya Barat yang merosakkan tidak sewajarnya diagung-agungkan. Hakikatnya, kegilaan yang menguasai golongan remaja di Amerika dan sebahagian besar Eropah yang mempraktikkan cara hidup haiwan adalah kegilaan yang berpunca dari kekosongan jiwa dan jauh dari ajaran agama. Kita perlu ingat bahawa sekali kita mempraktikkan peradaban Barat, maka hal itu akan menjerumuskan masyarakat kita ke dalam kekosongan jiwa.

jiwa dan fikiran kita dari serangan yang datang.rmasuk dalam jangkauan kemampuan kita.kita ke dalam kekosongan jiwa.dan jauh daSesungguhnya ada kalanya mengubah sesuatu keadaan bukanlah termasuk dalam jangkauan kemampuan kita. Tetapi yang pasti kita memiliki kemampuan sama ada besar atau kecil untuk membentengi jiwa dan fikiran kita dari serangan yang datang.

posted by izzahhusna

ISU UNDANG-UNDANG ISLAM 4:00 PM


MELARIKAN DIRI DARIPADA WALI
Sebagai umat Islam kita harus menerima hakikat bahawa hidup ini bersifat sementara. Masanya akan tiba untuk kita mencari pasangan hidup. Persoalan yang membezakan hanyalah cepat ataupun lambat. Percintaan merupakan sesuatu yang semula jadi. Namun, paling penting ialah bagaimana kita mengurus rasa cinta dan kasih sayang itu supaya tidak menggugat keutamaan lain dalam hidup. Rasional sangat penting dalam bercinta. Persoalan emosi hendaklah diletakkan pada tangga yang kedua. Pertimbangan hanya menggunakan emosi akan menatijahkan kesan buruk dalam hidup untuk satu tempoh yang agak panjang. Ada antara anak-anak gadis yang mudah termakan pujukan dan menerima ajakan orang yang dikasihinya supaya cepat-cepat bernikah. Apabila ada halangan daripada keluarga si gadis, tanpa berfikir panjang, gadis tersebut terus mengikut lelaki untuk “sehidup semati”. Pilihan paling popular ialah lari ke Selatan Thailand. Bunyinya macam romantik tetapi kesannya amat buruk, terutamanya kepada gadis tersebut. Ramai lelaki yang tidak bertanggungjawab menggunakan taktik begini. Syarat sah nikah ada lima iaitu suami, isteri, wali, saksi dan lafaz ijab qabul. Mereka ini tahu bahawa syarat sah nikah itu, jika wali berada lebih dari dua marhalah daripada tempat akad nikah dilangsungkan, gadis tersebut boleh menggunakan wakil wali. Jadi, kebenaran wali mujbir (bapa atau datuk) itu dianggap gugur. Inilah ksilapan yang sering dilakukan oleh pasangan yang cetek ilmu. Perbuatan mereka itu bukanlah menggugurkan hak wali tetapi mereka sebenarnya telah melarikan diri daripada wali dengan sengaja. Perbuatan ini boleh menjadikan pernikahan mereka tidak sah dan anak-anak yang bakal dilahirkan nanti anak-anak daripada perkahwinan syubhah.

Secara ringkasnya, kesan perkahwinan begini adalah seperti berikut:

1. Bernikah dengan sindiket tanpa bertauliah mengakibatkan perkahwinan itu tidak dapat disahkan di mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia.

2. Sekalipun pernikahan itu sah, pasangan hendaklah segera mendaftarkan perkahwinan di Malaysia dalam tempoh enam bulan setelah kembali ke tanah air.

3. Kegagalan untuk mendaftarkan perkahwinan itu:

a) Sijil nikah Malaysia tidak dapat dikeluarkan.

b) Anak-anak sukar didaftarkan.

c) Perceraian sukar dipohon.

d) Mewujudkan generasi yang pincang.

Barangkali kita melihat kes ini sebagai sesuatu yang jauh daripada kita. Namun, pengetahuan ini bukan sahaja boleh membantu kita tetapi boleh dimaklumkan kepada kawan-kawan ataupun saudara mara yang dijangka bakal terlibat dalam situasi begini. Secara logiknya, semua ibu bapa mahu melihat kebahagiaan anak-anak mereka. Namun, dalam membentangkan pendapat dan alasan kepada ibu bapa, perlu ada cara lebih rasional dan berhikmah yang perlu dipatuhi. Melarikan diri dengan mengikut teman lelaki dan mengikut kata hati biasanya menatijahkan hubungan perkahwinan yang tidak direstui. Akibatnya bukan sahaja ditanggung oleh pasangan itu malah bakal melahirkan generasi yang porak peranda juga.

posted by izzahhusna


Berpendirian Teguh 7:39 AM

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Janganlah kamu menjadi orang yang terikut-ikut dengan mengatakan, kami pun akan berbuat baik dan kalau mereka berbuat zalim, kami pun akan berbuat zalim." Tetapi, teguhkanlah dirimu dengan berprinsip, "Kalau orang lain berbuat kebaikan, kami berbuat kebaikan pula dan kalau oran lain berbuat kejahatan, kami tidak akan melakukannya"
(HR Tirmidzi)

Salah satu sebab hancurnya kehidupan bermasyarakat adalah apabila individu-individu di dalamnya tidak lagi memiliki prinsip hidup yang teguh dan pendirian kuat.

Di antara prinsip kebenaran yang perlu dipegang erat adalah semasa melakukan kebaikan. Sekalipun rakan-rakan, orang-orang terdekat, keluarga, tokoh-tokoh berpengaruh di sekeliling, bahkan para pemimpin melakukan kezaliman atau perbuatan buruk, ia tetap dengan pendiriannya melakukan kebaikan. Inilah karakter orang mukmin yang berpegang teguh dengan tali Allah.

Malangnya, tidak sedikit manusia, dengan berbagai alasan, hanyut terbawa arus yang menjerumuskannya kepada lembah keburukan. Apalagi, sekiranya keburukan itu digilap sedemikian rupa sehingga manusia dipaksa berpihak pada sesuatu yang dilakukan oleh orang ramai. Padahal, ramainya orang yang melakukan sesuatu perbuatan itu bukanlah ukuran bahawa perbuatan itu baik.

Bukankah Nabi s.a.w berpesan kepada setiap mukmin untuk selektif, menilai apakah perbuatan itu baik atau buruk. Jika baik, mukmin diperintahkan untuk melakukannya dan jika buruk, mukmin diperintahkan untuk meninggalkannya, sekalipun ramai orang yang melakukannya.

Sesuatu yang baik dan buruk tetaplah tidak sama, meskipun keburukan itu memukau ramai manusia. Demikian yang Allah s.w.t tegaskan dalam al-Quran:

"Katakanlah (wahai Muhammad), "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun ramai yang buruk itu menarik hatimu. Maka, bertaqwalah kepada Allah, hai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan." (Surah al-Maidah: 100)

Berpegang pada prinsip untuk sentiasa berbuat baik dan menjauhi perbuatan buruk akan menyelamatkan manusia dari kehidupan yang menawarkan kemilau kenikmatan sementara. Kerana sesungguhnya kemilau kenikmatan itu sering menjerumuskan manusia pada keburukan yang pada akhirnya akan menghancurkan manusia lahir dan batin, dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam.


MINNI:-
IZZAH

Ikatan Daripada SyaitaN 7:57 AM


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan Tiga Ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang Pertama. Apabila dia berWudhu' maka akan terbukalah ikatan yang Kedua. Apabila dia Sembahyang maka akan terbukalah ikatan Semuanya. Dia juga akan merasakan suatu Kesegaran dan Ketenangan Hati, jika tidak dia akan marasa Kusut dan Malas" (al-Bukhari)

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama berusaha untuk melepaskan diri daripada ikatan syaitan yang dilaknat Allah s.w.t. Sempena Bulan Ramadhan yang Mulia ini, sama-samalah kita meningkatkan amalan Sahur, berusahalah bangun pada waktu dinihari untuk merebut Pahala Sahur daripada Allah Taala.

InsyaAllah kita mampu berbuat demikian.

Bulan Ramadhan Bulan Berpuasa 8:43 PM

Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum
dan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa,
mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.
Umat Islam juga dikehendaki manahan diri daripada menipu,
berkata-kata yang buruk atau sia-sia, dan daripada bertengkar atau bergaduh.
Ini kerana puasa merupakan medan latihan Kesabaran, Kejujuran
dan Bertolak Ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung,
puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi.
Bukan hanya pada bulan puasa sahaja
tetapi berpuasa itu diharapkan berlanjutan
ke bulan-bulan berikutnya.

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin
telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan iaitu:

1. Puasanya orang awam (Saum al-'Umum) :
menahan diri dari perkara-perkara yang
membatalkan puasa seperti makan dan minum.

2. Puasanya orang khusus (Saum al-Khusus) :
turut berpuasa dari pancaindera dan seluruh
badan dari segala bentuk dosa.

3. Puasanya orang istimewa, super khusus (Saum al-Khawasi al-Khawas) :
turut berpuasa 'hati nurani' iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan.


Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.


Semoga kita semua berada pada tingkat yang terbaik,
InsyaAllah.

Salam Ramadhan Al-Mubarak 8:19 PM

Salam Barakah
Salam Ramadhan Al-Mubarak
Buat semua Sahabat..
Selamat menjalani Ibadah Puasa,
dan Solat Terawih.
Moga kedatangan Ramadhan kali ini lebih mendekatkan diri kepada Allah,
Semoga kita semua ditempatkan daripada golongan orang-orang yang mendapat Ganjaran Ramadhan..InsyaAllah...

Wahai Tetamu Ramadhan..
Untukmu Rahmat dan Maghrifah..
Airmata Taubat, Dendangan Tadarus,
Selimut Terawih dan Bantal Tahajjud.

Beribadahlah di Bulan Penuh KERAHMATAN ini,
Rebutlah Rahmatnya sebelum Ia pergi.

Selamat Berpuasa!

Aku Hamba 2:05 AM


Aku Hamba...
Aku Selalu Membuat Dosa
Sering Melakukan Kesalahan
Sekalipun Aku Sudah Mencuba
Untuk Menolaknya Wahai Tuhan
Dengan Rahmat-MU
Engkau Ampunkanlah
Seluruh Dosa-dosaku
Jangan Biarkan, Aku Terumbang-ambing
Dan Tenggelam Dengan Dosa
Aku inikan Hamba-MU
Aku adalah boneka
Yang Engkau Cipta
Jangan Engkau Biarkan Aku..
Tanpa Pimpinan, Aku akan tersesat jalan
Kalau Engkau biarkan aku dengan Dosa dan Noda
Kalau Engkau tinggalkan aku dengan Kesalahan
SEGALA YANG KUMILIKI TIADA ERTI APA-APA.

Hayatilah.....
Renungilah.....

Salam Kemerdekaan 1:30 AM


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!!
Salam Kemerdekaan buat semua sahabat.
Semoga sambutan kemerdekaan pada kali ini dapat membangkitkan lagi
semangat perjuangan kita semua untuk terus berjuang dan terus berjuang dalam apa jua,
khususnya dalam pengajian di UKM ini..InsyaAllah.
Kejayaan Menanti di Hadapan!!

Salam Ukhwah Minni 6:43 AM