Penawar 5:02 AM


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya." (HR Muslim)

Al-Quran merupakan Kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah SWT. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca al-Quran satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu, ia juga boleh memberikan syafaat pada hari akhirat kelak.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan sedap rasanya. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap."

Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhuk) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta'awwuz dan Basmalah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini, barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

Oleh itu,
Wahai sahabat2, jadilah al-Quran bahan bacaan kita setiap hari, berusahalah untuk meraih pahalanya dan Jadikan ia suatu bacaan di kala tertekan dengan bebanan. Mudah2an ketenangan menghampiri kita InsyaAllah.

0 comments: