PerpaduaN UmaT MelaLuI SembahyanG BerjemaaH 12:33 AM






(Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia)






Abu Mas'ud (r.a), sahabat Rasulullah (s.a.w) menyampaikan sebuah kisah. Suatu ketika, semasa kami hendak sembahyang berjemaah, Nabi menyentuh setiap bahu kami sambil bersabda: "Luruskan saffmu, jangan bengkok2, saff yang bengkok akan menyebabkan hatimu terpecah-belah" (HR Muslim)

Hadis tersebut mengandungi pengajaran yang amat mendalam yang perlu menjadi renungan umat Islam hari ini. Ternyata ada hubungan yang erat antara keadaan saff umat Islam ketika sembahyang berjemaah dengan keadaan hati mereka. Sedangkan hati itulah yang menentukan rasa persaudaraan, persatuan dan kesatuan umat.

Al-Quran ada menyatakan apabila hati bercerai-berai sekalipun di luar nampak bersatu tetapi hakikatnya itu hanyalah persatuan yang rapuh. "Kamu kira mereka itu bersatu padahal hati mereka bercerai-berai." (Surah al-Hasyr: 14)

Sejarah mencatatkan bahawa semenjak perintah sembahyang diwajibkan 5 waktu sehari semalam, Baginda selalu mengerjakannya secara berjemaah malah dalam keadaan genting dan cemas sekalipun misalnya semasa berperang, sembahyang berjemaah tetap ditegakkan. Sebab itu Rasulullah SAW telah mengajarkan tata-cara sembahyang berjemaah semasa berperang. Sembahyang berjemaah tetap dipelihara oleh para sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Bagaimana keadaan umat Islam pada hari ini? Jawapan amat mudah apabila kita menyaksikan keadaan masjid setiap kali masuk waktu sembahyang. Masjid hanya penuh dengan jemaah ketika sembahyang Jumaat, sembahyang Terawih dan sembahyang sunat hari raya. Ketika sembahyang 5 waktu, biasanya masjid hanya dipenuhi beberapa saff sahaja.

Mungkin ada yang berkata, sembahyang sendirian juga sah. Perbezaan antara sembahyang berjemaah dan sembahyang sendirian hanyalah pada pahala. Pendapat itu ada benarnya. Tetapi hikmah yang terkandung dalam sembahyang berjemaah tidak boleh dilihat daripada ruang lingkup fekah sahaja. Buktinya, Rasulullah SAW sering menghubungkaitkan saff sembahyang berjemaah dengan masalah sosial dan kemasyarakatan. Mungkin masyarakat pada hari ini mudah berpecah belah disebabkan tidak lagi menegakkan sembahyang berjemaah sebagaimana yang dicontohkan oleh Penghulu Kita Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, bijaklah meluang masa untuk sama2 meraih pahala sembahyang berjemaah lebih2 lagi kepada kaum Adam yang merupakan ketua dalam institusi keluarga. Mudah2an amalan ini boleh menyatukan ummah dan merapatkan ukhwah sesama saudara Islam, InsyaAllah.

0 comments: