MaSiNnYa MuLuT IBU 8:26 AM

Seorang ibu setiap kali memarahi anak lelakinya yang nakal tidak habis-habis menyumpah dengan kata-kata yang sama, "Engkau ni aku sumpah mati di tali gantung!"

Anak itu dari kecil hingga ke besar lali dengan sumpahan emaknya dan perangai liarnya semakin menjadi-jadi sehinggalah ditangkap oleh pihak berkuasa dan dibicarakan.

Kesalahannya cukup berat dan anak ini telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Menangislah si ibu, tidak jemu-jemu berulang alik ke penjara. Habis semua barang kemas dan geran-geran tanah dibawa. Pelbagai rayuan ibu pohonkan minta anak diringankan seksaan. Tetapi hukuman tidak boleh ditarik balik. Meraunglah si ibu penuh hiba. Penuh penyesalan. Hairan semua pegawai melihat gelagatnya, lalu si ibu pun menceritakan bahawa sejak kecil dia selalu menyumpah anaknya supaya mati di tali gantung.

Begitulah masinnya mulut ibu. Lidah tidak bertulang, tatkala emosi menghantui diri, segala perkara rasa sedap hendak dikata. Lebih-lebih lagi bicara itu dengan bangganya kita sumpahkan kepada anak. Ini kerana kita merasakan emak mempunyai kuasa veto, kerana emak melahirkan kamu, kerana emak membesarkan kamu dan kerana emak lebih dahulu makan garam daripada kamu, apa saja emak boleh cakap kepada kamu.

Lalu anak terus menerima dan menerima kata-kata negatif. Ada ketikanya kepala anak sudah sedia disenget-sengetkan dan mata terkenyit-kenyit. Anak sudah bersedia minda untuk menadah hamburan, juga tangan emak yang hendak memulas telinganya. Mindanya sudah dapat membaca bahasa badan si ibu sebelum ibu bertindak. Bayangkanlah jika bertahun-tahun si anak menerima hukuman yang sama. Lali dan kebal dirinya. Bahasa carut dan maki sudah terpasak ke dalam dirinya. Lalu bahasa-bahasa itulah juga yang akan keluar ketika anak bergaduh dengan adik-beradik dan kawan-kawannya. Apabila sudah berkahwin, bahasa itu jugalah yang akan dikeluarkan kepada suami atau isteri dan kepada anak-anak.

Kawallah lidah dari mengungkap bahasa-bahasa kesat. Kesannya pada persekitaran, kita akan kehilangan ramai kawan, didendami oleh anak-anak, dibosani suami atau isteri. Kita akan hilang seri wajah. Dan takutlah dengan peringatan dari Nabi Muhammad SAW bahawa wanita banyak ke neraka gara-gara tidak menjaga lidah. Sebab itulah baginda menggalakkan wanita banyak bersedekah iaitu dengan banyakkan berbuat kebaikan kepada keluarga dan masyarakat, memperbanyakkan amalan sunat dan kalau tidak mampu mengawal lidah maka DIAM dan BERISTIGHFAR adalah jalan yang paling selamat.

Sabda Rasulullah SAW: "Wahai kaum wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyakkan istighfar kerana aku melihat kalian sebagai penghuni neraka yang terbanyak." Kaum wanita bertanya: "Apa sebabnya wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW bersabda: "Kerana kalian banyak mengutuk dan mengingkari budi baik suami." (HR Bukhari dan Muslim)

0 comments: