MENJUNJUNG MARTABAT IBU 3:02 AM

Tak dapat hendak bayangkan betapa hina dan rendahnya kaum wanita pada zaman jahiliah. Sampaikan kerana percaya ia boleh membawa malu maka dibunuhlah anak-anak perempuan hidup-hidup. Bagaimana agaknya perasaan si bapa apabila melihat kerdipan anak yang tidak tahu apa-apa itu sewaktu akan dibunuh?

Namun, pada zaman sekarang...sebenarnya, betapa beruntung dan bersyukurnya kita kerana dilahirkan di dalam Islam. Hanya Islam yang menaikkan semula martabat dan kedudukan penting seorang wanita atau ibu ke persada mulia. Melalui Islam yang dibawa menerangi kegelapan jahiliah oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, telah meletakkan bahawa kedudukan wanita atau ibu yang melahirkan umat itu syurga tempatnya.

Sebab itulah unggul duduknya ibu di sisi Islam. Pun begitu wanita yang bergelar ibu itu hendaklah benar-benar mematuhi suruhan dan larangan yang telah digariskan oleh syariat. Barulah layak meraih gelaran ibu mithali, ibu sejati. Oleh yang demikian, kewajaran meletakkan ibu pada pelbagai tingkatan seperti ibu jari, ibu negara, ibu pertiwi, ibu susu dan macam-macam lagi itu memang kena pada tempatnya.

Doa seorang ibu tiada hijab, ia terus diangkat ke langit. Jadi bayangkanlah pula andai hati ibu terguris dan terdoa hal yang bukan-bukan tanpa sedar. Makbul dan sengsaralah si anak yang telah membuat onar terhadap ibunya sendiri. Buat anak-anak yang sudah tersasar dalam menghormati ibu bapa, baliklah ke pangkal jalan. Ibu mana yang tidak sayangkan anak-anak. Sedangkan haiwan pun lebih kasih dan sayang terhadap anaknya, inikan pula kita manusia.

Seorang ibu yang tulus ikhlas mengandung, melahir dan membesarkan anak-anaknya tidak pernah mengharapkan balasan segunung intan permata. Memadailah andai mereka diingati, disayangi, dikenangi dan dihormati tambah lagi apabila sudah uzur dimamah usia. Menyintai dan menyayangi ibu tidak semestinya harus berada di sampingnya setiap waktu. Tetapi jika ada kemampuan berbuat begitu amat beruntunglah si ibu. Mendoakan kesejahteraan ibu dunia akhirat juga boleh dilakukan pada setiap waktu dan ketika. Janganlah sayang terhadap mereka bermusim. Pemberian balik kasih sayang anak-anak yang ikhlas itu juga penawar rasa sedih ibu tatkala dirundung duka. Maklumlah orang tua pun banyak kisah dan ragamnya. Mereka umpama sudah pulang ke usia bayi. Amat rapuh dan sensitif deria rasanya. Selalu ingin diingati oleh anak-anak dalam apa jua keadaan.

Pun begitu, ibu-ibu juga hendaklah taat dan jitu sayangnya kepada Allah SWT serta RasulNya. Terdapat juga anak-anak yang derhaka itu sebenarnya berpunca daripada ibu bapa yang melahirkan mereka. Yang kemungkinan cinta dan taat mereka tidak padu kepada Allah SWT.

Kerana kita menuai apa yang kita tanam. Andai iman dan taqwa yang kita semai dan bajai, InsyaAllah buah Taqwalah yang kita peroleh.

SENTIASALAH BERUSAHA UNTUK DISAYANGI DAN DINAUNGI PAYUNGAN ALLAH SWT:-)

0 comments: