ISU AKIDAH ISLAM 10:55 AM

BUKU PEMIMPIN AJAIB MEMESONGKAN AKIDAH DAN MENGANCAM KESELAMATAN

Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan hampir 100 orang termasuk kanak-kanak dan warga tua, episod bermulanya pembongkaran aktiviti terselindung Rufaqa’ yang dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula ajaran Al-Arqam. Penahanan yang dilakukan di sebuah premis dua tingkat di Seksyen 13 di Shah Alam, kira-kira pukul 4.30 petang tersebut, menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Belia dan Mesra Rakyat negeri Datuk Abdul Rahman Palil, kumpulan Rufaqa’ itu diketuai oleh Ashaari Muhammad yang sebelum ini adalah ketua kumpulan Al-Arqam yang diharamkan pada tahun 1995. Ketika serbuan dibuat, JAIS mendapati dua penceramah yang digelar Sheikh sedang memberi penerangan sebelum menjalankan sesi Ambil Power kepada ahlinya. Bagi mereka perjuangan menerusi jalan tersebut akan mendapat ‘kekuatan’ daripada Allah seperti yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. Ashaari yang tidak mendapat liputan media selama lebih 10 tahun ini, kini dilaporkan giat mencari ahli baru dan menjadikan sebuah kawasan di Nilai Spring, Negeri Sembilan sebagai markasnya. Menurut Abdul Rahman, kenyataan Ashaari yang sebelum ini mengaku bertaubat adalah pembohongan semata-mata kerana masih mengaku dirinya setaraf nabi dan penghubung antara manusia dan Tuhan. Malah katanya, Ashaari yang mendapat sanjungan yang lebih hebat oleh pengikutnya apabila digelar Putera Bani Tamim, Ruhul Muqaddasah dan Sohibus Zaman, kini memperkenalkan mentera atau bacaan yang menyimpang daripada akidah melalui rawatan kasih sayang kepada pengikutnya.

Menurut Abdul Rahman, Kerajaan negeri Selangor akan bertindak tegas terhadap pihak yang ingkar dan berdegil dalam cubaan mereka menghidupkan semula al-Arqam dan ajaran Aurad Muhammadiah yang diharamkan pada tahun 1994. Malah katanya kerajaan negeri tidak akan berhenti membuat pemantauan sehingga usaha pihak berkenaan yang memesongkan akidah umat Islam dapat dihapuskan. Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri juga mengeluarkan arahan tegas kepada pentadbir agama setempat termasuk nazir masjid, imam dan bilal supaya membantu pihaknya memantau serta mengumpul maklumat berkaitan usaha menghidupkan al-Arqam. Menurut Abdul Rahman lagi, sebelum ini mereka menyebarkan ajaran tersebut melalui kumpulan nasyid Mawaddah, dan terkini adalah menerbitkan buku Abuya Ashaari Muhammad Paling Ajaib di Zamannya karangan Khadijah Aam. Jabatan Mufti Selangor mengesan 38 aspek kandungan yang menyeleweng daripada buku tersebut. Antara penyelewengan yang disenaraikan adalah dakwaan Ashaari sebagai pembantu Imam Mahdi, berkomunikasi dengan Rasulullah secara jaga serta dilantik Tuhan sebagai seorang pemimpin di zaman ini. Sehubungan dengan itu kata Abdul Rahman, JAIS akan bekerjasama dengan bekas pemimpin kanan al-Arqam yang telah insaf untuk memberikan taklimat kepada orang ramai melalui pelbagai majlis yang akan diadakan tidak lama lagi.


posted by izzahhusna

1 comments:

zafirahzol said...

salam.mmg sudah berleluasa tentang ajaran sesat ini.jadi kita sebagai pendakwah sangat berperanan untuk mengembalikan akidah umat Islam sekarang.kita sebagai umat Islam perlu kuatkan iman, tambahkan ilmu agar kita tidak sesat kelak.doa dan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.Insya-Allah.wasalam