ISU UNDANG-UNDANG ISLAM 4:00 PM


MELARIKAN DIRI DARIPADA WALI
Sebagai umat Islam kita harus menerima hakikat bahawa hidup ini bersifat sementara. Masanya akan tiba untuk kita mencari pasangan hidup. Persoalan yang membezakan hanyalah cepat ataupun lambat. Percintaan merupakan sesuatu yang semula jadi. Namun, paling penting ialah bagaimana kita mengurus rasa cinta dan kasih sayang itu supaya tidak menggugat keutamaan lain dalam hidup. Rasional sangat penting dalam bercinta. Persoalan emosi hendaklah diletakkan pada tangga yang kedua. Pertimbangan hanya menggunakan emosi akan menatijahkan kesan buruk dalam hidup untuk satu tempoh yang agak panjang. Ada antara anak-anak gadis yang mudah termakan pujukan dan menerima ajakan orang yang dikasihinya supaya cepat-cepat bernikah. Apabila ada halangan daripada keluarga si gadis, tanpa berfikir panjang, gadis tersebut terus mengikut lelaki untuk “sehidup semati”. Pilihan paling popular ialah lari ke Selatan Thailand. Bunyinya macam romantik tetapi kesannya amat buruk, terutamanya kepada gadis tersebut. Ramai lelaki yang tidak bertanggungjawab menggunakan taktik begini. Syarat sah nikah ada lima iaitu suami, isteri, wali, saksi dan lafaz ijab qabul. Mereka ini tahu bahawa syarat sah nikah itu, jika wali berada lebih dari dua marhalah daripada tempat akad nikah dilangsungkan, gadis tersebut boleh menggunakan wakil wali. Jadi, kebenaran wali mujbir (bapa atau datuk) itu dianggap gugur. Inilah ksilapan yang sering dilakukan oleh pasangan yang cetek ilmu. Perbuatan mereka itu bukanlah menggugurkan hak wali tetapi mereka sebenarnya telah melarikan diri daripada wali dengan sengaja. Perbuatan ini boleh menjadikan pernikahan mereka tidak sah dan anak-anak yang bakal dilahirkan nanti anak-anak daripada perkahwinan syubhah.

Secara ringkasnya, kesan perkahwinan begini adalah seperti berikut:

1. Bernikah dengan sindiket tanpa bertauliah mengakibatkan perkahwinan itu tidak dapat disahkan di mana-mana Mahkamah Syariah di Malaysia.

2. Sekalipun pernikahan itu sah, pasangan hendaklah segera mendaftarkan perkahwinan di Malaysia dalam tempoh enam bulan setelah kembali ke tanah air.

3. Kegagalan untuk mendaftarkan perkahwinan itu:

a) Sijil nikah Malaysia tidak dapat dikeluarkan.

b) Anak-anak sukar didaftarkan.

c) Perceraian sukar dipohon.

d) Mewujudkan generasi yang pincang.

Barangkali kita melihat kes ini sebagai sesuatu yang jauh daripada kita. Namun, pengetahuan ini bukan sahaja boleh membantu kita tetapi boleh dimaklumkan kepada kawan-kawan ataupun saudara mara yang dijangka bakal terlibat dalam situasi begini. Secara logiknya, semua ibu bapa mahu melihat kebahagiaan anak-anak mereka. Namun, dalam membentangkan pendapat dan alasan kepada ibu bapa, perlu ada cara lebih rasional dan berhikmah yang perlu dipatuhi. Melarikan diri dengan mengikut teman lelaki dan mengikut kata hati biasanya menatijahkan hubungan perkahwinan yang tidak direstui. Akibatnya bukan sahaja ditanggung oleh pasangan itu malah bakal melahirkan generasi yang porak peranda juga.

posted by izzahhusna


0 comments: