ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT 10:25 AM

UNIVERSITI ASMARA

PANTAI Dalam dan Kampung Kerinchi, antara penempatan yang menjadi tumpuan penduduk Melayu di Kuala Lumpur. Hasil pembangunan pesat, kedua-dua kawasan ini dipenuhi rumah pangsa dan kondominium yang sebahagian daripadanya disewa oleh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka tinggal menyewa beramai-ramai dan berkongsi kenderaan ke kuliah. Oleh kerana ibu bapa jauh di kampung, mereka bebas bergaul hingga ada yang terbabas kepada gejala sosial dan moral. Topik Universiti Asmara ini dibincangkan dalam Keluarga Di 9 (KD9) bersama pengacara Benjy dan tetamu termasuk Pengetua Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan (KEWAJA), Yahaya Mohamed dan Ketua Biro Ikhtisas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Nur Izura Udzir. Turut menjadi tamu ialah pemimpin pelajar, Mohd Zaid Mohd Idrus dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM).

Kisah Zara (bukan nama sebenar) menyedarkan banyak pihak mengenai kelonggaran akhlak remaja walaupun mempunyai pencapaian akademik membanggakan. Zara berasal dari negeri pantai timur dan mengikuti pengajian kejuruteraan, tetapi disebabkan cinta yang berkobar-kobar, sanggup menyerahkan maruah diri kepada lelaki yang dicintainya. Zara kini hamil lapan bulan hasil perhubungan intimnya dengan teman lelaki yang kini tidak dapat dihubungi lagi. Di Kewaja, rumah perlindungan yang dikendalikan Yahaya dan isterinya, Ruzitah Baharum, Zara dan remaja lain yang hamil daripada perhubungan luar nikah dilatih menguruskan diri dan menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar serta meneruskan kehidupan selepas melahirkan anak. Bagi Zara, pengajaran daripada episod pahit dalam hidupnya ini akan dijadikan pedoman pada masa depan. Sementara itu, seorang lagi remaja senasib, Intan (bukan nama sebenar) hamil selepas sebulan berkenalan dengan seorang lelaki ketika dia menuntut di sebuah politeknik di utara tanah air. “Sejak awal berkenalan lagi, dia memang banyak kali mencuba untuk melakukan hubungan seksual, tetapi saya tidak benarkan. Bagaimanapun, pada satu malam, saya tidak sedar dia memasukkan pil khayal ke dalam makanan saya. “Dalam keadaan separuh sedar, saya mendapati dia membawa saya ke rumahnya dan apabila saya sedar keesokan harinya, semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di KEWAJA.

Satu punca gejala ini ialah kejutan budaya penuntut yang datang dari luar bandar. Daripada persekitaran terkongkong, mereka yang mendapat kebebasan secara tiba-tiba apabila memasuki IPT dan tinggal beramai-ramai di rumah sewa, mudah dipengaruhi fenomena cinta kampus. Apabila terlanjur, ramai yang memilih jalan mudah dengan menggugurkan anak secara haram atau membuang bayi. Alhamdulillah, usaha ABIM masih giat menjalankan pelbagai program pembangunan ummah walaupun kian kurang mendapat pendedahan media. Katanya, jika diberi ruang yang lebih terutama di IPTA dan IPTS, ABIM bersedia mengadakan kegiatan pengisian jiwa dan minda remaja.

posted by izzahhusna

1 comments:

zakiah othman said...

dunia kampus banyak cabarannya..andai tidak mampu melawa ombak,,maka hanyutlah di tengah lautan.. terima kasih kepada saudari kerana menulis mengenai "universiti asmara" ini..saya sangat tertarik sekali membacanya..saya mengingatkan kepada diri dan rakan-rakan yang lain agar bijak menjaga diri..bercinta boleh tetapi ada batasannya.. jangan mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar..ingat tujuan kita datang kesini adalah untuk belajar..pastikan anda mencapai kejayaan dalam pelajaran walaupun bercinta.!!!!!!!!!