ISU ILMU-ILMU ISLAM 4:09 PM

MEMPERKASA PENEROKAAN ILMU FALAK

Falak atau juga dikenali sebagai astronomi merupakan satu bidang ilmu sains yang telah dipelopori oleh umat Islam sejak sekian lama. Ilmu falak atau astronomi boleh ditakrifkan sebagai satu bidang kajian bagi mengetahui kedudukan, peredaran, perihal serta fenomena jasad-jasad samawi seperti bintang, matahari, bulan, planet dan lain-lain yang mampu dilihat oleh kita di alam semesta ini. Ilmu falak yang digabungkan dengan hukum syariah yang berkaitan bagi hal-hal berkaitan ibadat umat Islam adalah lebih dikenali sebagai ilmu falak syarie. Menurut Pegawai Hal Ehwal Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Rizal Ramli, falak syarie adalah sebahagian daripada ilmu astronomi yang meluas dan ia melibatkan kajian alam dengan sistem suria dan seluruh jasad cakerawala dalam sistem galaksi. Katanya, falak syarie adalah dasar bagi penentuan waktu ibadah dan peristiwa yang telah ditentukan oleh Allah SWT dan kiraan penentuannya seperti masuknya waktu solat, ibadah puasa, Hari Raya Puasa dan sebagainya adalah berdasarkan hisab falak syarie yang ada kaitannya dengan konsep gerakan bumi, bulan dan matahari. Katanya lagi, hasil daripada penemuan kajian yang dibuat oleh ilmuwan Islam terdahulu telah memberi sumbangan yang besar kepada orang Islam yang mana ia masih diguna pakai sehingga ke hari ini untuk dijadikan sumber rujukan. Al-Khawarizmi misalnya, telah menghasilkan buku Al-Jabr wa Al-Muqabilah. Buku ini menjelaskan secara terperinci tentang jadual trigonometri. Begitu juga dengan Al-Biruni yang menghasilkan buku Qanun Al-Mas’udi yang merumuskan astronomi dan Ibnu Sina membincangkan mengenai penyelidikan astronomi dalam karya terkenalnya al-Majmu’.

Seperti yang diungkapkan oleh Pengarah Institut Sains Angkasa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dato’ Dr. Baharudin Yatim, teknologi sains angkasa wajar dibangunkan seiring dengan kecekapan yang diperlukan, oleh itu ilmu falak juga perlu diterapkan bermula di sekolah lagi. Mengulas dari sudut ini, Rizal turut berpandangan yang sama. Ini kerana pendidikan angkasa lepas adalah satu ilmu yang dituntut untuk dipelajari. Oleh itu, kita digalakkan untuk menuntut ilmu, yang bukan sahaja berbentuk akhirat, tetapi juga untuk memahami di sebalik itu ada juga falsafah-falsafah yang lebih berbentuk keislaman untuk mendidik diri mensyukuri apa yang diciptakan Allah. Malah Rasulullah s.a.w pernah naik ke Isra’ Mikraj, diangkat menjelajah angkasa lepas sehingga mengadap Allah di Sidratul Muntaha dan dari situ memberikan gambaran bahawa betapa pentingnya mengkaji segala yang ada di cakerawala. Justeru untuk mengembangkan lagi ilmu astronomi di kalangan masyarakat, Jabatan Falak turut bertanggungjawab dalam melebarkan pengetahuan tersebut. Mengulas perkara ini Rizal berkata, ilmu falak perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah rendah lagi dan untuk mencapai tujuan itu, perlukan ‘tapak’ yang kukuh.

posted by izzahhusna

1 comments:

humaira' said...

salam, isu ilmu astronomi/falak merupakan isu yang sesuai dibincangkan.Umat islam khasnya perlu memahami dan mempelajari ilmu berkaitan dengan astronomi/falak ini kerana kini di malaysia kita sekadar terhad menggunakan ilmu falak untuk menentukan terikh berpuasa dan berhari raya. sepatutnya, kita perlu lebih mendalami lagi ilmu ini kerana ia adalah ilmu islam. wallahu a'lam