ISU EKONOMI ISLAM 9:22 AM

HARGA MINYAK DAN INFLASI

Umumnya, ahli ekonomi bersetuju bahawa inflasi boleh disebabkan oleh tolakan kos atau tarikan permintaan atau kombinasi kedua-duanya. Namun begitu, pada masa kini nampaknya inflasi disumbangkan oleh sebahagian besarnya oleh tarikan kos. Ini disebabkan oleh kenaikan kos pengeluaran yang tinggi, yang sebahagian besarnya berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia. Kenaikan harga minyak ini amat ketara pada Julai 2006 dan meningkat lagi pada Julai 2008. Apabila kos pengeluaran meningkat, maka pengeluar yang sentiasa mahu memaksimumkan keuntungan akan mengenakan harga yang tinggi kepada pengguna. Selepas merasakan kesan kenaikan harga ini, kesan berikutnya, pengguna yang juga bekerja akan meminta kenaikan gaji yang baru dan lebih tinggi bagi menampung peningkatan harga ini. Jika permohonan mereka berjaya, kos pengeluaran akan meningkat dan seterusnya pengeluar pula akan meningkatkan harga mereka. Walaupun harga minyak dunia telah menurun pada 28 Ogos 2008, ekonomi Negara dijangka akan terus menghadapi tekanan inflasi. Di samping berpunca daipada harga minyak yang masih tinggi, harga komoditi yang tinggi juga menyumbang kepada tekanan tersebut. Pada masa yang sama, harga minyak yang menurun juga memberi kesempatan kepada kerajaan untuk menyemak semula dan menurunkan harga bahan api di pasaran tempatan.

Langkah tersebut pasti dapat mengurangkan beban pengguna yang sedang berdepan dengan tekanan inflasi. Namun begitu, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan harga barang dan perkhidmatan di pasaran akan kekal pada harga semasa. Peniaga tidak akan mudah menurunkan harga produk masing-masing kecuali bagi harga barang dan perkhidmatan yang dikawal oleh kerajaan. Peniaga selalunya bersikap tidak adil kepada pengguna.

Inflasi ini memberi kesan kepada pendapatan benar individu. Bagi individu, inflasi akan mengurangkan pendapatan benar mereka. Keadaan ini menjadi serius jika kadar kenaikan harga atau kadar inflasi jauh lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan wang. Pengurangan pendapatan benar akan berlaku dengan ketara kepada pekerja-pekerja yang berpendapatan tetap. Selain daripada itu, inflasi juga akan memberi kesan kepada pelaburan dalam Negara. Dengan meningkatnya paras harga, pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dieksport boleh kehilangan daya saing. Dengan kehilangan daya saing ini, pendapatan eksport akan menurun dan ini akan mengurangkan pelaburan dalam industri-industri berkenaan. Inflasi juga memberi kesan negatif yang besar kepada golongan miskin dan miskin tegar menerusi penghakisan kuasa membeli mereka. Pihak berkuasa agama perlu menyediakan mekanisme bantuan kewangan lain untuk membantu dan memudahkan ketua isi rumah miskin tegar untuk mengeluarkan zakat fitrahnya dan dalam pada itu menunaikan syariat Ramadhan. Di samping isu keupayaan membayar, kadar fitrah menggambarkan inflasi sebenar dalam ekonomi tempatan.

posted by izzahhusna

0 comments: