ISU PENGHAYATAN ISLAM 9:31 AM

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan satu rahmat daripada Allah. Ia merupakan bulan di mana Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertaqwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadhan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini. Bulan Ramadhan telah dimuliakan oleh Allah dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan Allah yang lain. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi Allah iaitu puasa. Pada bulan ini juga telah diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba Allah untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Pintu Syurga dibuka seluas-luasnya pada bulan ini bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah Allah. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke Syurga.

Pada bulan Ramadhan ini juga Allah meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba-Nya yang tekun beribadah dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya. Hamba-hamba Allah yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-Nya terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Namun, persoalan yang timbul di sini bahawa sekiranya syaitan dan jin dibelenggu pada bulan Ramadhan mengapa manusia masih melakukan kemungkaran pada bulan ini? Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam al-Qurthubi r.h telah berkata: “Apabila semua syaitan dibelenggu tidak bermakna langsung tidak akan berlaku kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana, punca berlakunya kemaksiatan mungkin berpunca daripada faktor selain hasutan syaitan seperti diri manusia itu yang sememangnya berperangai buruk, sentiasa melakukan perbuatan mungkar serta manusia yang nafsunya masih terdorong mengikut hasutan syaitan. Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan iaitu Lailatulqadar. Sesiapa yang beribadah pada bulan ini dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Dengan pelbagai keistimewaan yang Allah kurniakan pada bulan Ramadhan yang penuh berkat ini marilah kita penuhinya dengan mengerjakan amal-amal yang soleh. Ibadah yang amat dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ketika berada di bulan Ramadhan antaranya mempergiatkan ibadah qiamullail, memperbanyakkan doa, berzikir, membaca al-Quran, bersedekah dan amal soleh yang lain.

posted by izzahhusna

0 comments: